Khamis, 23 Jun 2011

Hati Adalah Segalanya

Rasullullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

        "Yang bermaksud kekayaan itu bukanlah banyaknya harta tetapi kekayaan yang sebenarnya ialah kekayaan hati (jiwa)." (Riwayat Abu Ya'la)

Rasullullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

        " Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa dan harta benda kamu, tetapi hanya memandang hati dan harta benda kamu, tetapi hanya memandang hati dan amal kamu."
(Riwayat Muslim daripada Abu Hurairah)





Peranan Hati

Hati pencetus kebaikan atau kejahatan. Anda menentukanya!

Semua orang tahu bahawa hati adalah organ yang mengendalikan semua anggota tubuh kita. Melalui hati ini, anggota tubuh yang lain akan mengambil teladan yang baik sama ada dalam ketaatan mahupun dalam kemungkaran.

Hati yang dijadikan Allah dalam tubuh manusia itu merupakan bahagian yang harus dipertanggungjawabkan oleh setiap insan ketika di akhirat nanti. Kita akan disoal bagaimana kita mengendali hati yang mempunyai fungsi yang sangat besar ini.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

" Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya." (Suruh al-Isra':36)

Apabila kita sudah mengetahui kepentingan fungsi dan peranan hati dalam  kehidupan kita, sewajarnya kita mengetahui juga sama ada hati yang kita miliki ini baik ataupun tidak, cantik atau buruk dan kotor ataupun bersih.

Hati bagaikan raja kerana segala perintah yang datang daripadanya harus dilaksanakan oleh anggota tubuh badan yang lain. Sebagai contoh, seseorang yang hendak makan akan terdetik di hatinya untuk merasai pelbagai jenis hidangan. Hati terlebih dahulu bertindak sebelum mulut memainkan peranannya. Jelaslah di sini bahawa semua yang kita lakukan bermula dengan detik hati. Hati akan menghantar mesej ke otak dan seterusnya mengarahkan anggota lain untuk bertindak.

Ibaratnya hati itu sebagai punca utama dalam setiap perlakuan manusia. Pada hari ini, kita sudah dapat melihat banyak orang yang gagal mengawal diri lantaran hati tidak bertindak sebagai pembimbing yang baik  kerana manusia suka mengikut kata hati dan jarang menggunakan kehendak akal untuk melakukan sesuatu. Di sinilah hebatnya peranan hati berbanding akal. Banyak kepincangan dan kemusnahan yang berlaku kerana terlalu mengikut kata hati. Tapi jika hati itu menyuruh kepada kebaikan maka akan amanlah dunia ini.

Sifat Terpuji

Jika kita mahukan segala sifat terpuji kekal dalam diri, hati perlulah dibersihkan dan dibebaskan terlebih dahulu daripada segala kekotoran dan sifat yang tercela. Hati yang bersih dan baik akan memberi arahan kepada anggota tubuh badan yang  lain agar sentiasa berbuat kebaikan dan meninggalkan segala keburukan.

Sabda Rasullullah s.a.w.

" Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya. Tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka dan kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Dan daging yang dimaksudkan itu adalah hati."
(Riwayat Bukhari dan Muslim dari Nukman bin basyir)

Hadis ini menerangkan bahawa jika hati itu jahat dan kotor, maka akan pincanglah keseluruh akhlak pemilik hati itu yang seterusnya akan membawa kepada kemurkaan Allah hati yang baik akan sentiasa menjadi rebutan kerana padanya terdapat unsur keimanan yang sejati. Manakala kita patut menjauhkan daripada memiliki hati yang berunsur jahat kerana ianya adalah hasutan daripada syaitan.

Beruntunglah bagi sesiapa yang berjaya memiliki hati yang berunsur baik ini kerana dia bukan sahaja akan menjadi orang yang taat dan beriman malahan mempunyai akhlak yang mulia tetapi agak malang jika hati yang berunsur jahat menguasaai diri seseorang kerana ianya hanya akan mengakibatkan seseorang itu menjadi kufur dan derhaka kepada Allah serta mempunyai akhlak yang terpuji.

Rasullullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

" Bertakwalah kepada Allah di mana pun kamu berada dan ikutilah perbuatan buruk dengan perbuatan baik, nescaya terhapus yang buruk. Bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang luhur." (Riwayat Al-Tirmizi)

Selasa, 21 Jun 2011

Sabar itu Indah

 
Apabila musibah menimpa, perasaan kita tergugat. Fikiran terganggu dan jiwa bercelaru. Diri seolah-olah diselubungi kegelapan. Namun, apabila sabar bertandang, perasaan, fikiran dan jiwa akan stabil semula. Diri yang tadinya gelap akan dilimpahi cahaya. Benarlah seperti yang disabdakan Rasullullah s.a.w. yang bermaksud: " Sabar itu umpama sinar matahari. "(Muttafaq 'alaih). Walaupun ia panas membahang, tetapi dialah sumber tenaga yang menyinari alam. Sabar adalah mentari dalam kehidupan kita. Tanpa sabar, kita selamanya berada dalam kegelapan.



Jika sabar itu tidak indah, bukan kerana ia tidak indah, tetapi mata hati kitalah yang kabur untuk melihat keindahan itu. Sama seperti kelawar yang tidak dapat melihat siang, bukan kerana kegelapannya tetapi siang itu terlalu terang dan mata kelawar tidak mampu menatapnya.

Sabar itu sesungguhnya akan memberikan keindahan pada fizikal kita. Sabar itu sesungguhnya akan memberikan keindahan pada jiwa dan perasaan kita. Sabar itu ada di hati. Apabila hati baik, kita akan sentiasa dapat melihat kebaikan. Ya, bersabarlah! Do good, you will become good and feel good - buat baik, kita akan jadi orang baik dan kita akan merasai ketenangan dan keindahan dengan kebaikan itu. Sesungguhnya....sabar itu indah!

Isnin, 20 Jun 2011

Sabar itu Laksana Matahari

Sabar itu cukup indah. Tetapi di manakah keindahan itu? Bukankah untuk bersabar begitu sukar? Ya, bukannya mudah untuk tersenyum ketika ditimpa musibah, dan bukan mudah pula untuk ceria ketika menapak di jalan Allah. Ketika kebenaran yang pahit ingin kita tegakkan dan ketika kemaksiatan yang manis ingin kita tinggalkan, apakah kita mampu tersenyum? mengapa yang sukar, pahit dan pedih itu dikatakan indah?

Sabar dari sudut istilah, bermaksud menahan diri daripada sifat gelisah dan beremosi, manahan lisan daripada mengeluh serta anggota badan daripada perbuatan yang tidak terarah.



Firman Allah yang bermaksud: " Dan  bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang yang menyeru Tuhannya pada waktu pagi dan senja hari dengan mengharapkan keredhaannya dan janganlah kedua-dua matamu berpaling daripada mereka (kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah  kami lalaikan daripada mengingati kami, serta menuruti hawa nafsunya kerana keadaannya melewati batas." (Surah Al-Kahfi 18:28)

Menerusi ayat diatas bersabar adalah dengan sedaya upaya menahan diri terkeluar daripada kalangan mereka yang beriman yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah. Perintah sabar  di atas sekaligus sebagai pencegahan daripada keinginan manusia yang ingin bersama dengan orang yang lalai daripada mengingati Allah.

Sabda Rasullulah s.a.w yang bermaksud: " Dan solat itu laksana sinar rembulan, sedekah itu bukti keimanan, sedangkan sabar itu laksana sinar matahari"( Riwayat Muslim).

Sememangnya, sabar itu bukan perkara yang mudah dilaksanakan kerana padanya terdapat kesulitan dan kepenatan.

Meskipun sinar matahari itu panas dan tidak menyelesakan, manusia memerlukannya untuk mengeringkan pakaian yang basah dan dan memberi cahaya kepada pelbagai tanaman dan tumbuhan serta haiwan agar hidup segar dan sihat. Bumi akan suram tanpa hadirnya sinar matahari. Itulah ibaratnya sifat sabar. Kita memerlukan walaupun ia menagih sedikit kesusahan. Ternyata sabar itu indah!