Sabtu, 28 April 2012

Maskahwin (Mahar)



PENGERTIAN MASKAHWIN ( MAHAR ).

Maskahwin adalah pemberian yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya dengan sebab perkahwinan. 

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

" Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu maskahwin mereka ". 
( Surah An-Nisaa' - Ayat 4 )

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

"Carilah untuk dijadikan maskahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi ." 
( Riwayat Bukhari )

Dari hadith di atas nyatalah bahawa maskahwin boleh dijadikan daripada apa sahaja asalkan benda itu berguna dan berfaedah sama ada berupa wang ,barang atau sesuatu yang bermanafaat sebagaimana diberitakan Rasulullah s.a.w. pernah mengkahwinkan seorang lelaki yang tiada memiliki sesuatu pun untuk dijadikannya maskahwin lalu Rasulullah s.a.w. bertanya kepada lelaki itu, adakah pada engkau (hafaz ) sedikit daripada ayat Al-Qur'an, lelaki itu menyahut bahawa ia mengingati beberapa surah kemudian Rasulullah s.a.w. pun mengahwinkan lelaki itu dengan bermaskahwinkan surah yang diajarkan kepada perempuan yang bakal menjadi isterinya.

Maskahwin itu tidak dihadkan oleh syarak banyak atau sedikit, jadi untuk menentukan banyak atau sedikitnya itu terpulanglah kepada dua pihak di atas persetujuannya dan berdasarkan taraf atau darjat pengantin tersebut dan hukum syarak tidak menggalakkan maskahwin yang terlalu tinggi yang menyebabkan kesukaran bagi pihak lelaki.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

" Sebaik-baik maskahwin ialah yang lebih rendah ". 
( Riwayat Abu Daud )

Dan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

" Sesungguhnya yang besar berkat nikah ialah yang sederhana belanjanya ". 
( Riwayat Ahmad )




BAHAGIAN-BAHAGIAN MAHAR 

a) Mahar Misil. Iaitu Mahar yang dinilai mengikut maskahwin saudara-saudara perempuan yang telah berkahwin lebih dahulu dan hendaklah yang dinilai sama dengan maskahwin keluarganya yang paling dekat sekali seperti kakak, ibu saudaranya dan seterusnya disamping menilaikan keadaan perempuan itu sendiri dari segi kecantikan, kekayaan, pelajaran dan sebagainya.

b) Mahar Musamma. Iaitu maskahwin yang telah ditetapkan dan telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak dengan tidak memandang kepada nilai maskahwin saudara-saudara perempuan itu.

HUKUM MENYEBUT MASKAHWIN DI WAKTU AQAD NIKAH

i ) Wajib.

a. Jika bakal isteri itu seorang budak yang masih kecil, gila atau bodoh sedangkan bakal suami ingin membayar mahar yang lebih tinggi dari mahar yang sepatutnya ( Mahar Misil ).

b. Jika bakal isteri yang sudah baligh bijak dan boleh menguruskan dirinya sendiri dan telah membenarkan wali untuk mengkahwinkannya tetapi ia tidak menyerahkan kepada wali untuk menetapkan maskahwinnya.

c. Jika bakal suami itu tidak boleh menguruskan hal dirinya sendiri seperti masih budak, gila atau bodoh dan sebelum akad telah mendapat persetujuan dari bakal isteri tersebut tentang bayaran maskahwin kurang daripada mahar yang sepatutnya, oleh yang demikian maskahwin wajib dinyatakan sebagaimana yang dipersetujui. Maksud wajib disini bukanlah bererti perkahwinan itu tidak sah, tetapi perbuatan itu dianggap berdosa dan maskahwin dibayar mengikut kadar yang sepatutnya ( Mahar Misil ).

ii ) Sunat.

Rasulullah s.a.w tidak pernah meninggalkan dari menyebutnya semasa akad, apabila ia menikahkan orang lain. Dengan menyebutnya semasa akad berlangsung dapat mengelakkan dari berlaku perselisihan, berhubung dengannya, disamping dapat membezakan diantara perkahwinan biasa dengan perkahwinan pada seorang perempuan yang menghebahkan dirinya kepada Rasulullah s.a.w. tanpa mahar. Sekiranya mahar tidak di sebut dimasa akad, tidaklah bererti akad perkahwinan itu tidak sah tetapi makruh jika mahar itu tidak disebut.

WAJIB MASKAHWIN

Maskahwin itu wajib dibayar mengikut sebagaimana yang tersebut didalam akad jika dinyatakan dimasa akad dan maskahwin itu wajib dibayar dengan keadaan-keadaan yang berikut:-

i) Apabila suami menetapkan yang ia akan membayarnya sebelum dukhul dan dipersetujui oleh pihak isteri, oleh yang demikian isteri berhak melarang atau meghalang suami dari mensetubuhinya sehingga suami tersebut menentukan kadar maskahwin yang akan diberinya sama ada dengan cara tunai atau hutang, jika dijanjikan tunai maka pihak isteri berhak menghalang suami tersebut dari mensetubuhinya sehingga dijelaskan maskahwinnya itu.

ii) Bila penetapan maskahwin itu dibuat oleh kadi dengan sebab keengkaran pihak suami dari membuat ketetapan atau dengan sebab perbalahan atau perselisihan kedua belah pihak tentang kadar maskahwin tersebut dan bila kadi menentukannya akan maskahwin tersebut, hendaklah dibayar tunai (tidak boleh hutang).

GUGUR SEPARUH MASKAHWIN

Apabila berlaku talak sebelum persetubuhan maka gugurlah separuh maskahwin sebagaimana firman Allah ta'ala Yang bermaksud: "Dan jika kamu menceraikan perempuan sebelum persetubuhan sedangkan kamu telah menentukan kepada perempuan tersebut akan maskahwinnya , maka bagi perempuan itu setengah dari apa yang kamu tentukan itu".

Gugur separuh maskahwin sekiranya perceraian ini berlaku berpunca dari pihak suami, seperti suami jadi murtad atau suami menganut Islam dan isterinya tidak. Tetapi sekiranya berlaku perceraian itu berpunca dari pihak isteri, seperti suami memfasakhkan perkahwinan tersebut dengan sebab kecacatan yang ada pada isteri maka maskahwin itu akan gugur semuanya.

MATI SUAMI ATAU ISTERI SEBELUM PERSETUBUHAN

Jika seorang suami meninggal dunia sebelum berlaku persetubuhan, pihak waris si suami wajib membayar maskahwin itu sepenuhnya kepada bekas isterinya dan jika maskahwin itu belum ditentukan kadarnya, maka wajib dibayar dengan nilai mahar misil.

Sebaliknya pula jika seorang isteri meninggal dunia sebelum berlaku persetubuhan, pihak suami wajib membayar maskahwin sepenuhnya kepada waris bekas isterinya jika maskahwin itu belum dijelaskan lagi.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. Yang bermaksud:

"Dari Alqamah katanya seorang perempuan telah berkahwin dengan seorang lelaki kemudian lelaki itu mati sebelum sampai mensetubuhi isterinya itu dan maskahwin pun belum ditentukan kadarnya. Kata Ulqamah, mereka mengadu hal tersebut kepada Abdullah, maka Abdullah berpendapat perempuan itu berhak mendapat mahar misil sepenuhnya, dan perempuan itu berhak mendapat pusaka dan wajib pula dengan bereddah. Maka ketika itu Ibnu Ma'kul bin Sanan Al- Saja'i menjelaskan bahawa sesungguhnya Nabi s.a.w. telah memutuskan terhadap Baraq bin Wasaq seperti yang dibuat oleh Abdullah tadi". 
(Riwayat Al-Tarmidzi)

MUT'AH

Mut'ah bererti satu pemberian dari suami kepada isteri sewaktu ia menceraikannya. Pemberian ini adalah wajib diberikan sekiranya perceraian itu berlaku dengan kehendak suami, bukan kemahuan isteri. Banyaknya pemberian itu adalah berdasarkan kepada persetujuan atau keredhaan kedua-dua belah pihak, di samping mempertimbangkan keadaan kedua-duanya sama ada kaya atau miskin dan sebagainya tidak kurang dari separuh mahar.

Firman Allah: Ertinya : 

Tenangkan olehmu hati mereka dengan pemberian dan lepaskanlah mereka dengan cara yang baik. ( Surah Al-Ahzab ayat 49 ).


Kisah Tauladan : Mahar Nabi Muhammad SAW kepada Siti Khadijah


Nabi Muhammad merupakan pemuda yang berasal dari kalangan sederhana dan bersahaja, namun ternyata Nabi Muhammad saat meminang Siti Khadijah salah satu saudagar terkaya di masa silam, Nabi Muhammad tidak Segan-segan memberi mahar sebanyak seratus ekor unta, sungguh luar biasa besar pada zaman dahulu kala, kalau melihat dari kekayaan Nabi Muhammad yang tidak terlalu kaya di banding Siti Khadijah.

Seratus unta kalau di lihat pada zaman saat ini, ternyata punya nilai tinggi, bahkan, apabila dirupiahkan saat ini, seratus unta sekitar 1,2 Milyar, mengingat Rata-rata harga unta saat ini sekitar 12 juta perekor. Nah! berarti mahar Nabi Muhammad begitu besar dilihat zaman dahulu kala sampai saat ini, apalagi melihat latar belakang Nabi Muhammad yang berasal dari keluarga yang sangat sederhana.

Mahar Nabi Muhammad saat meminang siti Khadijah banyak yang mengira hanya dalam hitungan kecil, ternyata perkiraan itu sangat salah kaprah, lalu kenapa Nabi Muhammad memberi mahar begitu besar kepada Siti Khadijah? sebab Nabi Muhammad sangat menghormati wanita, apalagi sang isteri yang bernama Siti Khadijah, sehingga harta bukanlah hal yang berharga, apabila di banding dari nilai sang isteri tercinta. Nah! dari situlah kita diajak mengambil pelajaran dan hikmah dari kisah agung Nabi Muhammad pada saat meminang wanita yang di cintai.

Berangkat dari tulisan di atas kita di ajak berpikir dan merenungi, bahwa sang isteri punya nilai istimewa yang tidak dapat di ukur hanya sebatas dari sudut materi, sehingga memberikan mahar seratus unta kepada sang Isteri merupakan salah satu bentuk cara memuliakan sang isteri.

Kisah di atas merupakan cara Nabi Muhammad memberikan pelajaran kepada umat manusia, bahwa harta benda tak sebanding, apabila di bandingkan dari nilai sang isteri tercinta, sehingga belajarlah dari Nabi Muhammad dalam menjunjung tinggi keberadaan wanita, khususnya isteri yang menemani sepanjang hayat kita nanti. Wallahu a'lam bisshowab...........
.

Sekufu dalam Pernikahan menurut Islam


Kufu Dalam Pernikahan





1. Kufu bermaksud persamaan, kelayakkan atau sepadan.

2. Kufu tidak menjadi syarat dalam perkahwinan, tetapi jika tidak dengan keredhaan masing-masing, maka bolehlah memfasakhkan nikahnya itu dengan alasan tidak kufu.

3. Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Qur'an yang bermaksud :

"Wahai sekelian manusia sesungguhnya kami jadikan kamu dari lelaki dan perempuan dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak agar kamu kenal-mengenal di antara satu dengan yang lain , bahawa sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah yang paling bertaqwa diantara kamu , sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana ".

4. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

"Tidak ada kelebihan orang Arab atas orang yang bukan Arab dan sebaliknya, tidak ada orang putih atas orang hitam dan sebaliknya, tetapi kelebihan yang satu dari yang lain hanyalah dengan taqwa ".

5. Kufu berpunca daripada lima sebab :

* Selamat daripada 'aib seperti gila atau penyakit kulit.
* Merdeka bukan hamba .
* Keturunan.
* Pekerjaan.
* 'Iffah (Kebolehan atau kesopanan )

Pembentukan keluarga memainkan peranan penting dalam agama Islam. Jadi apabila Islam menggalakkan sekufu, ini bermakna Islam melihat lebih jauh lagi mengenai peranan sesuatu keluarga itu. Ini kerana perbezaan yang terlalu banyak dan ketara di antara pasangan suami dengan isteri dalam pelbagai perkara, hanya akan menimbulkan berbagai-bagai masalah untuk meneruskan kehidupan berkeluarga yang akan dibina kelak. Bahkan sekiranya tiada sekufu antara kedua-duanya, maka isteri atau walinya berhak menuntut fasakh selepas perkahwinannya.
Ia berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: Tidak berhak mengahwinkan seorang anak perempuan kecuali dengan wali, dan tidak berhak mengahwinkan wanita kecuali dengan lelaki yang sekufu dengannya.

"Sekufu didefinisikan oleh para ulama sebagai 'al musawah wal muqarab' atau yang bermaksud persamaan atau hampir. "Yang dimaksudkan dengan persamaan atau hampir ini lebih ditekankan dalam Islam kepada pihak perempuan. "Jadi di sini, sekiranya seorang lelaki itu mengambil seorang isteri yang lebih rendah pendidikannya atau yang lebih sedikit hartanya dan sebagainya, ia biasanya tidak menimbulkan sebarang masalah kemudian hari.

"Berlainan pula seandainya seorang isteri bersuamikan seorang lelaki yang jauh lebih rendah daripadanya dalam semua perkara. Dalam hal inilah, Islam melihat kafaah sebagai satu aspek yang perlu dijaga.
Menurut ulama fiqah, keseluruhan mereka mengambil kira kepentingan sekufu, sehingga didapati Mazhab Syafie meletakkan sekufu sebagai hak seorang perempuan dan hak walinya. Sementara bagi Mazhab Hanafi, walaupun tidak ada wali mujbir (wali yang boleh memaksa anaknya untuk berkahwin atau tidak berkahwin, misalnya ayah dan datuk) seorang perempuan itu boleh mengahwinkan dirinya tanpa wali.

Namun wali mujbirnya iaitu bapanya contohnya, masih berhak untuk membubarkan perkahwinan itu sekiranya mendapati pasangan tersebut tidak sekufu. Sebagaimana dijelaskan di atas bahawa sekufu merupakan hak kepada wanita dan walinya, maka sekiranya salah seorang daripada orang yang berhak ini menghalang perkahwinan disebabkan tidak sekufu, maka perkahwinan itu tidak boleh dilangsungkan.

Contohnya, seorang perempuan membawa calon suaminya tetapi tidak dipersetujui oleh bapanya sebagai seorang wali mujbir dengan alasan lelaki tersebut tidak sekufu dengan anaknya, maka alasan itu dianggap munasabah dan hak bapanya sebagai wali tidak boleh dipindahkan kepada wali hakim atau wali selepasnya. Begitu juga sekiranya seorang perempuan yang dipaksa berkahwin oleh wali mujbirnya, sama ada bapa ataupun datuk tetapi dia menolak dengan alasan bahawa perkahwinan ini tidak sekufu, maka dia berhak untuk menghalang perkahwinan ini.

Jelas di sini, bahawa semua mazhab meletakkan sekufu sebagai satu perkara yang penting. Jumhur mengatakan, sekufu adalah syarat untuk meneruskan perkahwinan, bukannya syarat sah perkahwinan tetapi tidak dinafikan bahawa sekufu penting dalam perkahwinan. Sementara menurut Imam Shirazi, apabila seorang wanita ingin berkahwin dengan orang yang tidak sekufu, tidak menjadi kewajipan kepada wali mengahwinkannya. Manakala, bagi Imam Imrani pula, pemerintah tidak boleh mengambil alih ataupun wali tidak boleh dipaksa untuk mengahwinkah anak perempuan dengan pasangannya yang tidak sekufu.

Sekufu adalah hak kedua-dua belah pihak, iaitu calon isteri dan walinya. Pun begitu ia boleh digugurkan dengan syarat dipersetujui oleh kedua-dua. Ini dijelaskan lagi oleh hadis riwayat Aisyah, Rasulullah s.a.w. bersabda: Pilihlah olehmu untuk keturunan kamu dan bernikahlah dengan orang yang sekufu. (Riwayat al-Baihaqi)

Manakala di dalam kitab Fathul Qadir, "Tidak boleh menikahkan seorang perempuan itu kecuali walinya dan mereka tidak akan menikahkannya kecuali yang sekufu". Pada zaman Rasulullah s.a.w. ada seorang hamba bernama Burairah yang dimerdekakan oleh Aisyah r.a. Setelah dia dimerdekakan, Rasulullah bertanya kepadanya kerana dia telah berkahwin dengan seorang hamba. Baginda memberi pilihan kepada Burairah sama ada mahu meneruskan perkahwinannya atau bercerai. Nyatalah bahawa Rasulullah begitu menitikberatkan soal sekufu, memandangkan suami Burairah masih menjadi hamba berbanding dirinya yang sudah merdeka. Kata Dr. Amilah lagi, ayat al-Quran yang begitu terang menceritakan tentang sekufu ini tidak ada. Cuma yang ada ialah ayat yang agak hampir dalam masalah sekufu ini, iaitu surah an-Nur ayat 26, Allah s.w.t. berfirman maksudnya:

"Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki yang keji, dan lelaki yang keji adalah untuk wanita-wanita yang keji (juga), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik, dan lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)".

Malah kepentingan sekufu ini tidak terhad kepada gadis dan wali sahaja, wanita yang berstatus janda juga perlu dititikberatkan soal sekufu.

Ini terbukti apabila Rasulullah s.a.w. berpesan kepada Ali bin Abi Talib, Tiga perkara jangan kamu tangguhkan. Pertama, menunaikan sembahyang apabila masuk waktunya. Kedua, menguruskan jenazah, dan ketiga, janda sekiranya didapati ada lelaki yang sekufu dengannya, maka langsungkanlah pernikahannya. (Riwayat Tirmizi) .
Menyedari kepentingan sekufu ini, adalah di sarankan kepada ibu bapa dan remaja perempuan, agar mengambil berat mengenainya tetapi jangan bersikap terlalu rigid.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: Apabila datang pinangan kepada kamu daripada orang-orang yang kamu redhai agamanya dan akhlaknya, maka kahwinkanlah dengannya. Sesungguhnya, sekiranya kamu tidak berbuat demikian, akan menyebabkan fitnah dan kefasadan (kerosakan) di muka bumi.

Menyentuh mengenai tahap pendidikan ujar Dr. Amilah, aspek pendidikan boleh dikaitan dengan profesion atau kerjaya dan penghayatan agama (ilmu agama). Contohnya sebuah kisah yang berlaku pada zaman baginda Rasulullah. Bilal bin Rabah (bekas hamba) berketurunan Habshi telah dikahwinkan dengan seorang wanita Ansar.

Wanita tersebut mengetahui bahawa Bilal bukan berbangsa Arab. Namun, Rasulullah mengenepikan soal darjat antara kedua-duanya dan mengatasinya dengan cara memberi kefahaman dan penghayatan agama.

Begitu juga kisah sekumpulan orang-orang Ansar yang berkata kepada Ali bin Abi Talib, "Alangkah baiknya kalau kamu memiliki Fatimah." Lalu Ali menemui Rasulullah s.a.w. untuk meminang puterinya, Fatimah. Setelah mengucapkan salam beliau ditanya oleh Rasulullah s.a.w.: Apa hajatmu wahai putera Abi Talib? Jawab Ali, Aku hendak melamar Fatimah puteri Rasulullah s.a.w. Rasul menjawab: Marhaban Wa Ahlan. dan tidak berkata apa-apa lagi. Maka Ali keluar menemui sekumpulan orang-orang Ansar yang sedang menunggunya tadi. Mereka bertanya, "Berita apa yang kau bawa?" Ali menjawab, "Aku tidak tahu kerana baginda hanya mengatakan kepadaku, Marhaban."

Daripada peristiwa ini jelas menunjukkan bahawa sekufu dalam agama merupakan aspek penting dalam pemilihan jodoh.

"DUDUK sama rendah, berdiri sama tinggi', 'Sama cantik sama padan' dan `Bagai pinang dibelah dua".

Itulah kepelbagaian ungkapan yang sering benar diucapkan apabila hendak memuji kecantikan dan ketampanan sepasang pengantin baru. Luahan perasaan sebegini jelas membuktikan naluri kita sebagai manusia yang gemar kepada keindahan, dan menolak sesuatu yang tidak sepadan atau tidak secocok.

Apatah lagi, perkahwinan merupakan ikatan perjanjian dua orang insan untuk berkongsi segalanya dalam menempuh kehidupan berumah tangga, yang mengharapkannya kekal sepanjang hayat.

Lantaran itu, sebaiknya kedua-duanya setaraf dalam banyak hal supaya rumah tangga yang akan diharungi lebih mudah dilayari. Kesesuaian atau sefahaman dalam memilih suami mahupun isteri, merupakan asas dalam membina keluarga Muslim.

Kesesuaian bukan sahaja dinilai dari aspek kedudukan, harta kekayaan dan pendidikan akan tetapi kesamaan atau sefahaman dalam agama turut diambil kira di dalam Islam.
Firman Allah s.w.t. bermaksud: "Hai manusia, se-sungguhnya Kami ciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal". (Al-Hujarat: 13)

Tanggungjawab Suami dan Isteri dalam Islam




Tanggungjawab Suami
  1. Menyediakan mahar untuk isteri.         
  2. Menyediakan tempat tinggal untuk isteri dan anak-anak.
  3. Memberi nafkah, makanan dan minuman, pakaian, alat-alat keperluan dan sebagainya mengikut yang perlu.
  4. Memberi nafkah batin dan layanan baik kepada isteri.
  5. Adil kepada isteri-isteri sekiranya berpoligami.
  6. Memberi didikan agama sekiranya isteri tidak mengetahui atau tiada pengetahuan terutama tentang soal-soal ibadat dalam fardu ain
  7. Tidak mendedahkan sebarang keaiban atau rahsia rumah tangga kepada orang lain yang boleh menjatuhkan maruahnya.


Tanggungjawab Isteri
  1. Mentaati suami dalam sebarang perkara yang tidak mendatangkan kemungkaran atau maksiat kepada Allah.
  2. Memelihara kehormatan diri dan maruah suami.
  3. Memelihara harta benda suami, menguruskan rumah tangga, serta mendidik anak-anak dengan sempurna.
  4. Tidak membenarkan orang yang tidak disenangi oleh suami masuk ke dalam rumah.
  5. Tidak keluar rumah tanpa mendapat keizinan daripada suami.
  6. Merendahkan suara apabila berkata-kata dengan suami. 

  Hak Dan Tanggungjawab Bersama Suami Dan Isteri
  1. Bersifat amanah. Suami isteri hendaklah saling mempercayai dan tidak boleh khianat mengkhianati.
  2. Berkasih sayang dan saling hormat antara satu sama lain.
  3. Berakhlak dan bersopan santun, lemah lembut dalam pergaulan, saling menghargai dan menghormati.
  4. Suami isteri berkewajipan memelihara hubungan baik antara ibu bapa serta ahli keluarga kedua­-dua belah pihak.
  5. Memberi kasih sayang dan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak.
  6. Mempertahan dan memperkukuhkan kerukunan rumahtangga.


Jumaat, 27 April 2012

Perempuan yang haram dikahwini


Perempuan-perempuan yang haram dikahwini itu terbahagi kepada dua bahagian

i. Haram buat selamanya.
ii. Haram buat sementara waktu.

Sebab-sebab haram dikahwini

i. Haram dengan sebab keturunan. 
ii. Haram dengan sebab susuan.
iii. Haram dengan sebab persemendaan. ( Musyaharah )

Haram dengan sebab keturunan

i. Ibu dan nenek hingga ke atas.
ii. Anak dan cucu hingga kebawah.
iii. Adik-beradik perempuan seibu-sebapa atau sebapa atau seibu sahaja.
iv. Ibu saudara sebelah bapa ( adik beradik perempuan sebelah bapa ) hingga ke atas. 
v. Ibu saudara sebelah ibu ( adik-beradik perempuan sebelah ibu ) hingga ke atas. 
vi. Anak saudara dari adik-beradik lelaki hingga kebawah. 
vii. Anak saudara dari adik-beradik perempuan hingga ke bawah. 

Firman Allah SWT: 
Maksudnya:

 "Diharamkan ke atas kamu mengahwini ibu kamu, anak saudara, emak saudara sebelah bapa , emak saudara sebelah ibu , anak saudara dari saudara lelaki dan anak saudara dari saudara perempuan kamu ". 
 ( Surah An-Nisaa' - Ayat 22 )




Haram dengan sebab susuan 

i. Ibu yang menyusukan.
ii. Saudara perempuan sesusuan.

Firman Allah SWT:
Maksudnya :

"Diharamkan ibu-ibu yang menyusukan kamu dan saudara- saudara kamu sepersusuan". 
( Surah An-Nisaa' - Ayat 23 )

Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya:

"Haram dari susuan sebagaimana haram dari keturunan ".
 (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Perempuan-perempuan yang haram dengan sebab susuan adalah sama dengan orang-orang yang haram dengan sebab keturunan.


Syarat-syarat haram dengan sebab susuan 

i. Ibu yang telah menyusukan itu telah baligh. 
ii. Anak yang disusukan itu berusia dua tahun.

Sabda Rasulullah SAW: 
Maksudnya:

"Tidaklah susuan itu melainkan dalam lingkungan umur dua tahun". 
( Riwayat DaruQutni )

iii. Bilangan menyusu sampai lima kali yang berasingan dan setiap kali menyusu mesti sampai kenyang.

Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya:

" Adalah pada ayat yang diturunkan daripada Al-Quraan ialah sepuluh kali susu yang maklum lagi mengharamkan kemudian dimansuhkan dengan lima kali susu sahaja". 
( Riwayat Muslim )

iv. Susu yang diberi kepada kanak-kanak itu mestilah ditelan dan sampai ke perut kanak-kanak itu pada kelima-limanya.

Sabda Rasulullah SAW: 
Maksudnya:

"Tidak diharamkan berkahwin dari susuan itu melainkan susuan yang sampai kepada perut kanak-kanak itu dan penyusuan itu pula mesti budak yang menyusu itu belum berumur dua tahun".

Sekiranya tidak memenuhi syarat-syarat yang tersebut maka tidaklah haram berkahwin di antara ibu yang menyusukan dengan anak yang disusukan dan seterusnya.

Haram yang disebabkan persemendaan ( Musyaharah )

i. Ibu mertua samada dari keturunan atau penyusuan. 
ii. Ibu tiri atau nenek tiri hingga ke atas.
iii. Menantu perempuan ( isteri anak ) atau isteri cucu hingga ke atas.
iv. Anak tiri dengan syarat sudah mensetubuhi ibunya, jika belum disetubuhi kemudian diceraikan maka tidak haram mengahwini anak tirinya itu samada anak tiri itu dari keturunan atau penyusuan. 

Firman Allah SWT:
Maksudnya:

" Dan diharamkan ibu isteri kamu dan anak tiri yang di dalam pemeliharaan kamu jika ibunya telah kamu setubuhi , maka jika ibunya belum kamu setubuhi maka bolehlah kamu mengahwini anak tiri itu dan begitu juga haram mengahwini isteri anak kamu yang sejati ". 
( Surah An - Nisaa' - Ayat 23 )

Firman Allah SWT:
Maksudnya:

" Janganlah kamu kahwini perempuan-perempuan yang telah dikahwini oleh bapa kamu ( ibu tiri ) ". 
( Surah An-Nisaa' - Ayat 22 )

Perempuan-perempuan yang haram dikahwini buat sementara waktu dengan sebab menghimpunkannya

i. Saudara perempuan sebelah isteri.

Firman Allah SWT:
Maksudnya:

 " Dan haram kamu menghimpunkan dua perempuan yang bersaudara kecuali apa yang telah lalu ". 
( Surah An- Nisaa' - Ayat 23 )

ii. Anak saudara isteri sebelah bapa. 
iii. Anak saudara isteri sebelah bapa.
iv. Anak saudara isteri dari saudara lelaki. 
v. Anak saudara isteri dari saudara perempuan.

Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: 

"Tidak boleh dikahwini seorang perempuan yang dihimpunkan dengan emak saudara sebelah bapa dan tidak boleh antara emak saudara sebelah bapa dengan anak perempuan saudara lelaki dan tidak boleh dikahwini seorang perempuan dihimpun dengan emak saudaranya sebelah ibu begitu juga di antara emak saudara sebelah ibu dengan anak perempuan dari saudara perempuan tidak yang besar dengan yang kecil dan tidak yang kecil dengan yang besar ".
( Riwayat At -Tirmidzi )
Rujukan : Kitab Mathla'al Badrain - Muhammad bin Ismail Daud bin Al-Fathani.



Wali dan Saksi dalam pernikahan

Syarat-syarat Wali

Wali hendaklah mempunyai syarat-syarat berikut:
  • Islam
  • Lelaki
  • Baligh.
  • Sukarela.
  • Tidak dalam ihram haji atau umrah.
  • Tidak ditahan daripada menguruskan hartanya kerana safih (bodoh / dungu / tidak waras)
  • Sempurna akal.
  • Adil.
Senarai Wali

Senarai wali bagi pernikahan mengikut susunan keutamaan (tertib) adalah sebagaimana berikut:
  • Bapa.
  • Datuk dan ke atas.
  • Saudara lelaki seibu-sebapa (adik beradik).
  • Saudara lelaki sebapa (adik beradik).
  • Anak lelaki daripada saudara lelaki seibu sebapa (anak saudara).
  • Anak lelaki daripada saudara lelaki sebapa dan ke bawah (anak saudara).
  • Saudara lelaki bapa seibu sebapa (bapa saudara).
  • Saudara lelaki bapa sebapa (bapa saudara).
  • Anak lelaki daripada saudara lelaki bapa seibu sebapa (sepupu).
  • Anak lelaki daripada saudara lelaki bapa sebapa dan ke bawah (sepupu).
  • Saudara lelaki kepada bapa kepada bapa seibu sebapa (datuk saudara).
  • Saudara lelaki kepada bapa kepada bapa sebapa (datuk saudara).
  • Anak saudara lelaki kepada bapa kepada bapa seibu sebapa (sepupu kepada bapa).
  • Anak saudara lelaki kepada bapa kepada bapa sebapa (sepupu kepada bapa).
  • Wali Hakim (sekiranya tiada wali yang tersebut di atas).
Sebab-sebab Perpindahan wali

Perpindahan wali akrab (dekat) kepada wali ab'ad (jauh) boleh berlaku dengan sebab-sebab berikut:
  • Kafir atau murtad.
  • Belum baligh.
  • Tidak sempurna akal.
  • Fasik.
  • Kematian wali akrab.
Wali Hakim

Seseorang perempuan  perlu berkahwin menggunakan wali hakim apabila berlaku salah satu daripada sebab-sebab berikut:
  • Tiada wali nasab.
  • Wali nasab yang akrab tidak memenuhi syarat wali dan wali yang berikut atau wali ab'ad tidak ada.
  • Wali berada di tempat yang jauh, iaitu berada dalam dua marhalah (tidak kurang daripada 93 km) atau lebih dan tidak mewakilkan orang lain untuk mengakad nikah perempuan yang hendak berkahwin itu.
  • Wali yang ditahan dalam penjara dan tidak dapat dihubungi.
  • Wali sedang dalam ihram haji atau umrah.
  • Wali enggan menikahkannya tanpa sebab yang munasabah.
  • Wali menyembunyikan diri kerana tidak mahu menikahkannya.
  • Wali sengaja menangguh-nangguhkan akad nikah tanpa sebab.
  • Wali hilang dan tidak diketahui tempatnya serta tidak diketahui hidup atau mati.
  • Wali hendak berkahwin dengan perempuan yang dia sendiri menjadi wali sedangkan tiada wali lain yang sedarjat dengannya.
Saksi

Saksi hendaklah mempunyai syarat-syarat berikut:
  • Islam.
  • Sempurna akal.
  • Baligh.
  • Lelaki.
  • Boleh  mendengar.
  • Boleh melihat.
  • Boleh bertutur.
  • Faham bahasa ijab kabul.
  • Tidak ditentukan menjadi wali.
  • Adil.

Pengertian, Hikmah, Hukum dan Rukun Nikah

Pengertian Pernikahan






Nikah dari segi bahasa bermaksud himpun, kumpul atau cantum. Dari segi syarak, nikah ialah ikatan yang menghalalkan pergaulan lelaki dan perempuan yang diharuskan berkahwin.

Firman Allah SWT dalam surah al-Nur ayat 32:

Dan kahwinlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) di kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui.


Sabda Rasullullah SAW:

Maksudnya:

Nikah itu adalah sunnahku maka sesiapa yang tidak beramal dengan sunnahku bukanlah ia daripada golonganku.


(Riwayat Ibn Majah)


Hikmah Perkahwinan


Perkahwinan yang dilaksanakan mempunyai hikmah yang banyak, antaranya ialah:


  • Memelihara daripada melakukan perkara yang haram seperti zina dan pergaulan bebas.
Sabda Rasullullah SAW:

Maksudnya:

Wahai orang muda, sesiapa antara kamu yang mempunyai kemampuan (zahir dan batin), maka hendaklah dia berkahwin kerana ia lebih menundukkan pandangan dan lebih memelihara faraj dan siapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa kerana berpuasa itu memecahkan syahwat jimak (mengurangkan keinginan jimak).

(Riwayat al-Bukhari)

  • Menghalalkan pergaulan lelaki dan perempuan menurut ketentuan syarak.
  • Memelihara kesucian keturunan.
  • Membentuk keluarga dan menyusun masyarakat.
  • Melahirkan semangat tolong-menolong antara ahli keluarga.
  • Menghubungkan kasih sayang (silaturahim).
Hukum Nikah

Terdapat lima hukum yang berkaitan dengan pernikahan iaitu:

  1. Harus         ~ Hukum asal perkahwinan.
  2. Sunat         ~ bagi seseorang yang berkemampuan serta mempunyai keinginan untuk berkahwin.
  3. Wajib        ~ bagi seseorang yang mampu dan bimbang atau yakin akan terjerumus melakukan zina     dan perkara yang membawa kepada perzinaan seperti berpegangan tangan dan sebagainya.
  4. Makruh     ~ bagi seseorang yang tidak berkeinginan berkahwin disebabkan penyakit atau tua atau perkahwinan menghalang ia daripada melakukan ibadah kepada Allah.
  5. Haram       ~ sekiranya seseorang itu bimbang atau yakin akan menzalimi serta memudaratkan isterinya.
Rukun Nikah

Rukun nikah ada lima iaitu:

  1. Calon suami ~ pengantin lelaki.
  2. Calon isteri  ~ pengantin perempuan.
  3. Wali.
  4. Dua orang saksi lelaki.
  5. Sighah ( lafaz ijab dan Kabul).
Setiap rukun nikah mempunyai syarat-syarat yang tertentu sebagaimana berikut:

Calon Suami
  • Islam.
  • Tertentu orangnya.
  • Tidak mempunyai empat orang isteri (termasuk jika telah bercerai tetapi masih dalam idah)
  • Tiada halangan untuk berkahwin dengan perempuan yang hendak dinikahi menurut hukum syarak.
  • Tidak dalam ihram haji atau umrah.
  • Sah kelelakiannya.
  • Sukarela tanpa paksaan menurut hukum syarak.
Calon Isteri

Calon isteri hendaklah mempunyai syarat-syarat berikut:

  • Islam atau kitabiyyah (dengan syarat-syarat tertentu).
  • Tertentu orangnya.
  • Sah kewanitaannya.
  • Tiada tegahan syarak untuk berkahwin dengan lelaki yang akan menjadi suaminya.
  • Bukan isteri orang atau dalam idah suami terdahulu.
  • Tidak dalam ihram atau umrah.



Prosedur Perkahwinan Islam


Prosedur Perkahwinan Islam




Setiap orang yang akan berkahwin perlu melengkapkan diri dengan persediaan tertentu yang meliputi ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah, samada yang berkaitan dengan persediaan fizikal, mental, spiritual, ekonomi dan sosial.

Penekanan kepada perkara-perkara di atas perlu dilakukan bagi memastikan matlamat pembinaan keluarga bahagia dapat dicapai. Tanpa penekanan tersebut ia akan menjejaskan pencapaian keharmonian rumahtangga sebagaimana yang dicita-citakan.

Pemilihan Jodoh

Pemilihan pasangan (jodoh) adalah permulaan atau pengenalan kepada perkahwinan. Pemilihan yang berdasarkan panduan yang ditetapkan oleh Islam adalah kaedah pemilihan terbaik sebagai usaha untuk memastikan rumahtangga yang dibina mendapat keredhaan Allah SWT.

Pemilihan Calon Isteri

Pemilihan calon isteri sebaik-baiknya berasaskan kriteria berikut:

  • Agama 
  • Keturunan 
  • Kecantikan
  • Harta
Sabda Rasullullah SAW:

Maksudnya:

Dikahwini akan perempuan itu kerana empat perkara: hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah dari kalangan mereka yang beragama nescaya kamu akan selamat.

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Seseorang yang telah memilih pasangan yang mempunyai keempat-empat kriteria di atas lazimnya akan menikmati kebahagiaan. Sekiranya semua kriteria pilihan itu tidak diperolehi, maka orang yang kuat pegangan agamanya hendaklah diberi keutamaan, kerana memilih pasangan yang berpegang teguh kepada ajaran agama Islam akan lebih menjamin kebahagiaan rumahtangga.


Kriteria lain dalam pemilihan calon isteri, antaranya:

  • Anak dara
  • Berakhlak mulia
  • Keturunan yang ramai anak.
  • Bukan keturunan terdekat
Sabda Rasullullah SAW:

Maksudnya:

...Kamu kahwinilah wanita-wanita yang subur dan pengasih kerana sesungguhnya aku bangga dengan umat yang ramai.

(Riwayat Abu Daud)

Pemilihan Calon Suami

Wanita juga berhak memilih bakal suami. Di antara kriteria yang perlu diberi perhatian oleh wanita semasa memilih bakal suami:

  • Menghayati agama
  • Memiliki akhlak mulia
  • Mampu memimpin keluarga
  • Suami yang kufu (setaraf).
Sabda Rasullullah SAW:

Maksudnya:

Apabila datang meminang kepada kamu orang yang kamu redhai agama dan akhlaknya maka hendaklah kamu kahwini akan dia, jika kamu tidak melakukannya nescaya akan berlaku fitnah di atas muka bumu dan kerosakan yang besar.

(Riwayat al- Tirmizi)


Berdasarkan Hadis dia atas, agama dan akhlak merupakan faktor yang utama dalam membuat pemilihan calon suami. Seandainya perintah tersebut diabaikan, ia boleh membawa kerosakan dan kebinasaan kepada pembinaan keluarga dan keturunan.

Walau bagaimanapun dalam soal samada pemilihan calon oleh pihak lelaki atau perempuan, restu keluarga merupakan faktor yang penting bagi memperoleh kebahagiaan dalam rumahtangga.







Ahad, 22 April 2012

Pernikahan dalam Islam

Assalamualaikum..w.t.h

Alhamdulillah bertemu kembali kita dalam topik perbincangan kita pada kali ini iaitu mengenai tajuk "Pernikahan" di dalam islam. Topik yang agak menarik ingin saya kongsikan kepada anda semua insyaAllah semoga menjadi panduan kepada semua bakal-bakal pengantin baru dan tidak ketinggalan juga pada yang sudah lama mendirikan rumah tangga bagi menghidupkan semula keredhaan dan keberkatan di dalam rumah tangga. 

Sebelum melayari alam pernikahan seseorang itu perlulah mempelajari ilmu-ilmu rumah tangga terlebih dahulu serta benar-benar faham dengan tanggungjawab yang akan dipikul dalam pernikahan nanti. InsyaAllah jika anda sudah benar-benar faham pasti bahtera yang akan dibina itu akan kekal bahagia hingga ke syurga.

Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan pperempuan) di kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kunianya kerana Allah Maha Luas (rahmatnya dan limpah kurnianya), lagi Maha Mengetahui.
(Surah: Al-Nur: 32).

sabda Rarullullah SAW:

Nikah itu adalah sunnahku maka sesiapa yang tidak beramal dengan sunnahku bukanlah ia daripada golonganku.
(Riwayat Ibn Majah).




Berbagai cerita dan pengalaman yang selalu kita dengar daripada mereka yang telah pun mendirikan rumah tangga, ada yang bahagia dengan pernikahan mereka dan tidak kurang pula yang tidak bahagia dengan pernikahan mereka. Walau bagaimanapun pada yang bakal akan mendirikan atau baru berniat untuk mendirikan rumah tangga usahlah risau atau takut mendengar cerita-cerita yang tidak baik yang berlaku di kalangan mereka yang sudah pun mendirikan rumah tangga. Semuanya bergantung pada akidah seseorang itu, akidah yang mantap menjadi asas kepada keutuhan perhubungan suami isteri dan ahli keluarga. Setiap ahli keluarga yang mempunyai keimanan yang teguh kepada Allah SWT akan sentiasa melaksanakn tanggungjawab masing-masing dengan jujur dan ikhlas seperti yang dikehendaki oleh Islam. Kesan daripada perlaksanaan tanggungkjawab akan menghasilkan sebuah kehidupan yang baik dan diredhai Allah SWT.

Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki dan perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik, dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan. 
(Surah: Al-Nahl : 97)

Berdasarkan penjelasan dan ayat di atas, dapat disimpulkan bahawa akidah merupakan perkara penting dalam kehidupan manusia, khususnya dalam pembinaan keperibadian muslim. Ia menjadi dasar kepada pembinaan keluarga yang sejahtera. Apabila akidah mantap dalam diri setiap individu dan ahli keluarga, maka pastilah mereka akan istiqamah dalam penghayatan hidup, mampu mengendalikan kelakuan dan tindakan, serta dapat membezakan perkara-perkara yang baik dan buruk. Oleh itu sebuah keluarga yang tidak mengamalkan tuntutan akidah dalam kehidupan mereka akan menghadapi kepincangan dalam keluarga seperti hubungan yang renggang, tidak harmoni, kecurangan, pengabaian, penganiayaan dan sebagainya.

Selain itu, ibadah seseorang itu juga merupakan aspek penting dalam kehidupan manusia. Ibadah sangat penting kepada individu dan institusi kekeluargaan kerana pelaksanaan ibadah akan membentuk peribadi mulia serta dapat mengurus keluarga dengan baik dan berkesan. Ibadah yang wajib dilaksanakan oleh setiap muslim contohnya ialah solat fardhu lima kali sehari mengingatkan seseorang itu bahawa dia adalah hamba Allah SWT dan hanya kepadanya tempat pengabdian untuk mengeratkan hubungan dan memperolehi keredhaannya. Ibadah solat juga menjadikan seseorang itu lebih berdisiplin dan istiqamah dalam menjalankan tugas-tugas seharian. Di dalam konsep ibadah solat itu sendiri dapat mendidik seseorang itu menjadi pemimpin di dalam keluarga, suami yang mampu menjadi imam dalam solat adalah amat jelas mampu memimpin rumah tangganya. Maka isteri akan hormat kerana suaminya mempunyai kredibiliti yang sememang menjadi tuntutan dalam berkeluarga. Mampu menjadi imam dalam solat adalah tanda bahawa suaminya mampu memimpinnya ke jalan yang baik dalam agama.

Dan (ingatlah!) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepada ku.
(Surah: Al-Zariyat: 56)

Keharmonian hidup sesebuah keluarga terletak juga kepada nilai akhlak yang dimiliki oleh anda. Akhlak yang baik akan membentuk kefahaman yang jelas tentang tujuan dan masa depan mereka, sedangkan akhlak yang buruk bukan sahaja akan membawa kepada keruntuhan sesebuah keluarga malah melibatkan masyarakat sekitarnya. Peranan akhlak dalam pembinaan sesebuah keluarga yang berjaya perlu melibatkan pelbagai pihak samada ibu bapa, anak-anak malah masyarakat keseluruhannya. Keluarga yang mengamalkan akhlak yang mulia akan menyumbangkan kepada kemajuan. Justeru, Islam melihat persoalan akhlak sebagai titik tolak kepada pembinaan masyarakat yang berjaya dan ia merupakan prasyarat ke arah mewujudkan sebuah negara yang aman dan diredhai oleh Allah SWT. Maka jika anda bakal menjadi seorang suami dan bapa jadilah suami dan bapa yang berakhlak mulia semoga menjadi ikutan serta "role model" kepada keluarga anda nanti dan jika anda bakal menjadi seorang isteri dan ibu jadilah isteri dan ibu yang beraklah mulia juga, tanamkan rasa hormat pada suami serta jadilah ibu yang baik pada anak-anak nanti. InsyaAllah semoga anda mengecapi keluarga yang bahagia serta harmoni yang diredhai Allah.

Demi sesungguhnya! adalah bagi kamu pada diri Rasullullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan memperingati Allah banyak (dalam masa susah dan senang).
(Surah: Al-Ahzab:21)