Isnin, 20 Jun 2011

Sabar itu Laksana Matahari

Sabar itu cukup indah. Tetapi di manakah keindahan itu? Bukankah untuk bersabar begitu sukar? Ya, bukannya mudah untuk tersenyum ketika ditimpa musibah, dan bukan mudah pula untuk ceria ketika menapak di jalan Allah. Ketika kebenaran yang pahit ingin kita tegakkan dan ketika kemaksiatan yang manis ingin kita tinggalkan, apakah kita mampu tersenyum? mengapa yang sukar, pahit dan pedih itu dikatakan indah?

Sabar dari sudut istilah, bermaksud menahan diri daripada sifat gelisah dan beremosi, manahan lisan daripada mengeluh serta anggota badan daripada perbuatan yang tidak terarah.



Firman Allah yang bermaksud: " Dan  bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang yang menyeru Tuhannya pada waktu pagi dan senja hari dengan mengharapkan keredhaannya dan janganlah kedua-dua matamu berpaling daripada mereka (kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah  kami lalaikan daripada mengingati kami, serta menuruti hawa nafsunya kerana keadaannya melewati batas." (Surah Al-Kahfi 18:28)

Menerusi ayat diatas bersabar adalah dengan sedaya upaya menahan diri terkeluar daripada kalangan mereka yang beriman yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah. Perintah sabar  di atas sekaligus sebagai pencegahan daripada keinginan manusia yang ingin bersama dengan orang yang lalai daripada mengingati Allah.

Sabda Rasullulah s.a.w yang bermaksud: " Dan solat itu laksana sinar rembulan, sedekah itu bukti keimanan, sedangkan sabar itu laksana sinar matahari"( Riwayat Muslim).

Sememangnya, sabar itu bukan perkara yang mudah dilaksanakan kerana padanya terdapat kesulitan dan kepenatan.

Meskipun sinar matahari itu panas dan tidak menyelesakan, manusia memerlukannya untuk mengeringkan pakaian yang basah dan dan memberi cahaya kepada pelbagai tanaman dan tumbuhan serta haiwan agar hidup segar dan sihat. Bumi akan suram tanpa hadirnya sinar matahari. Itulah ibaratnya sifat sabar. Kita memerlukan walaupun ia menagih sedikit kesusahan. Ternyata sabar itu indah!

Tiada ulasan: