Sabtu, 5 Mei 2012

Kenapa kita perlu menutup Aurat??



Bila kita sebut sahaja tentang Aurat, pasti semua yang beragama Islam sudah sedia maklum apa itu Aurat?.  Tetapi walaupun ramai yang sudah mengetahui tentang suruhan menutup aurat, masih terdapat ramai umat Islam di luar sana yang masih lagi tidak menutup aurat mereka namun masih ramai wanita Muslim yang gagal menutup Aurat dengan sempurna.

Pengertian Aurat
Aurat diambil dari perkataan Arab ‘Aurah’ yang bererti keaiban dan dalam istilah feqah pula aurat diertikan sebagai bahagian tubuh badan seseorang yang wajib ditutup atau dilindungi dari pandangan.
Dalam Islam terdapat beberapa keadaan atau situasi di mana masyarakat Islam dibenarkan membuka aurat dan ia hanya pada orang-orang yang tertentu saja.
Hukum Menutup Aurat
Hukum menutup aurat adalah WAJIB, ia sebagaimana difirmankan oleh Allah s.w.t dalam Surah al-Ahzab ayat 33 :
وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الأولَى وَأَقِمْنَ الصَّلاةَ وآتِينَ الزَّكَاةَ وَأَطِعْنَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا
Dan hendaklah kamu tetap diam di Rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti Yang dilakukan oleh orang-orang jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu Dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara Yang mencemarkan diri kamu – Wahai “AhlulBait” dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari Segala perkara Yang keji). (Surah al-Ahzab : ayat 33)
Bersandar ayat di atas maka jelaslah bahawa hukum menutup aurat adalah wajib dan tiada alasan untuk tidak melaksanakan ia.
Dengan menutup aurat maka ia mudah dikenali sebagai seorang muslim dan mukmin. Bagi wanita pula ia dapat mengelakkan daripada golongan yang ingin mengambil kesempatan , mengelakkan timbulnya fitnah ke atas dirinya dan mengelak diri dari meransang nafsu lelaki.
Ia juga sebagaimana difirmankan oleh Allah s.w.t dalam Surah al-Ahzab ayat 59 :
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لأزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا
Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan Yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara Yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan Yang baik-baik) maka Dengan itu mereka tidak diganggu. dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Ahzab : ayat 59)

Asas Aurat Muslimah
  1. Tudung mestilah labuh dan menutup dada dan tidak jarang.
  2. Baju mestilah labuh dan longgar.
  3. Lengan baju panjang sehingga ke pergelangan tangan.
  4. Kain / Seluar yang dipakai mesti panjang sehingga ke buku lali.
  5. Kasut Tinggi yang tidak berbunyi ( sekiranya hendak memakai kasut yang bertumit tinggi, pastikan tumitnya diperbuat daripada getah).

Islam telah menetapkan garis panduan aurat bagi lelaki dan wanita. Aurat asas bagi lelaki adalah dengan menutup antara pusat dengan lutut , manakala aurat asas bagi wanita pula adalah dengan menutup seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan.
Aurat lelaki pada bila-bila masa dan ketika bersama sesiapa pun adalah sama iaitu perlu menutup antara lutut dengan pusat. Namun lelaki wajib menjaga auratnya dan menundukkan pandangannya dari melihat aurat wanita ia sebagaimana difirmankan oleh Allah s.w.t dalam Surah An Nuur  ayat 30 :
قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ
Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki Yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa Yang mereka kerjakan. (Surah An Nuur : Ayat 30)
Namun bagi wanita terdapat perbezaan dalam beberapa keadaan antaranya :
1. Aurat Ketika Sembahyang – Aurat wanita ketika sembahyang adalah menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.
2. Aurat Ketika Sendirian – Aurat wanita ketika mereka bersendirian adalah bahagian anggota pusat dan lutut. Ini bererti bahagian tubuh yang tidak boleh dilihat antara pusat dan lutut.
3. Aurat Ketika Bersama Mahram – Pada asasnya aurat seseorang wanita dengan mahramnya adalah antara pusat dan lutut. Walau pun begitu wanita dituntut agar menutup mana-mana bahagian tubuh badan yang boleh menaikkan syahwat lelaki walaupun pada mahram sendiri dan digalakkan memakai pakaian yang lengkap dan labuh untuk menjaga tatasusila dan mengelakkan sumbang mahram berlaku.
4.Aurat Ketika Di Hadapan Lelaki Bukan Mahram – Kewajipan menutup aurat dihadapan lelaki bukan mahram adalah amat penting dan perlu dilaksanakan oleh setiap wanita, bagi mengelak berlaku fitnah dan perkara yang tidak diingini seperti rogol dan sebagainya. Perkara ini terjadi disebabkan nafsu para lelaki terangsang akibat dari penglihatan mereka terhadap wanita yang memakai pakaian yang tidak senonoh dan mendedahkan sebahagian tubuh badan mereka. Wanita yang bersuami pula, ianya turut wajib menutup aurat yang mana dosa seorang isteri yang membuka aurat akan ditanggung oleh suami.
5. Aurat Ketika Di Hadapan Wanita Kafir – Aurat wanita apabila berhadapan atau bergaul dengan wanita bukan islam adalah tutup keseluruhan tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan.
Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud : Abdullah bin Abbas ada menyatakan, Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya : ” Tidak halal kaum wanita Islam itu dilihat oleh kaum Yahudi dan Nasrani”.
6. Aurat Ketika Bersama Suami – Apabila seorang isteri bersama-sama dengan suaminya di tempat yang terlindung dari pandangan orang lain, maka islam telah memberi kelonggaran dengan tiada membataskan aurat pada suaminya. Ini bermaksud suami dan isteri tiada sebarang batasan aurat terhadap mereka berdua. Isteri boleh mendedahkan seluruh anggota badannya bila berhadapan dengan suaminya , ia bersandarkan hadith :
Mu’awiyah bin Haidah mengatakan : “Aku pernah bertanya : Ya rasulullah , bagaimanakah aurat kami, apakah boleh dilihat oleh orang lain?”. Baginda menjawab :”Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau hamba abdi milikmu”. Aku bertanya lagi :” Ya rasulullah , bagaimanakah kalau ramai orang mandi bercampur-baur di satu tempat? ” Baginda menjawab : “Berusahalah seboleh mungkin agar engkau tidak melihat auratmu”. Aku masih bertanya lagi: ” Ya rasulullah, bagaimanakah kalau orang mandi sendirian?” Baginda menjawab : ” Seharuslah ia lebih malu kepada allah daripada malu kepada orang lain”. (Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)

Kenapa islam mewajibkan umatnya menutup aurat? ikutan ulasan oleh ustaz zaharudin.


Berdasarkan dalil Al-Quran dan al-Hadith, amat jelas bahawa isu aurat bukanlah isu remeh dan cabang. Ia adalah termasuk dalam katergori hukum qati'e dan usul. Malah ia juga merupakan salah satu dosa utama yang amat diperjuangkan oleh Syaitan. Ini adalah kerana, dengan terbukanya aurat, maka ia boleh mencambahkan dosa-dosa lain seperti zina, mengandung anak luar nikah, bercerai suami isteri akibat curang, membunuh anak luar nikah, putusnya hubungan keluarga dan pelbagai lagi. Perihal Syaitan mensasarkan dosa 'buka aurat' ini sebagai dosa pilihan utamanya ada disebutkan dalam Al-Quran dari firman Allah ertinya :-
" Maka Syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya yang tertutup dari mereka iaitu auratnya .." Al-A'raf : 20)




Kesalahan-kesalahan dalam menutup Aurat


Kemunculan pelbagai fesyen dewasa ini membuktikan mereka bijak berfesyen, namun pada masa sama mengetepikan soal aurat yang tidak seharusnya didedahkan atau dibuka di hadapan orang yang tidak halal dilihat kepadanya.

Sebagai Muslimah, tidak salah untuk berfesyen, tetapi biarlah fesyen sama ada pakaian mahupun tudung yang diperagakan itu tidak keterlaluan dan boleh menimbulkan fitnah.

Sebenarnya, kecantikan seorang wanita terletak pada sejauh mana ketaatannya kepada Allah SWT, bukannya merasakan kaum lelaki tertawan disebabkan rupa parasnya semata-mata tanpa melihat kepada unsur-unsur keagamaan dalam dirinya.

Islam sebenarnya tidak menetapkan pakaian khusus untuk wanita Islam. Asalkan pakaian yang digayakan itu longgar, tidak jarang, tidak terlalu menarik perhatian (glamour), tidak menyerupai jantina lain dan tidak menyerupai simbolik agama lain, boleh dipakai oleh wanita itu.

Bagaimanapun tidak semua Muslimah berpakaian mendedahkan aurat. Mungkin golongan terbabit tidak memahami tuntutan agama dan hanya tahu pakaian yang digayakan itu satu fesyen sahaja tanpa mengambil kira kehendak Islam itu sendiri.

Jika mereka memahami bahawa hukum menutup aurat adalah wajib, maka tidak timbul situasi wanita berpakaian seksi, sebaliknya Malaysia mampu melahirkan lebih ramai Muslimah sejati serta dapat menjadi hamba terbaik di sisi Allah.

Tiada ulasan: