Jumaat, 27 April 2012

Pengertian, Hikmah, Hukum dan Rukun Nikah

Pengertian Pernikahan






Nikah dari segi bahasa bermaksud himpun, kumpul atau cantum. Dari segi syarak, nikah ialah ikatan yang menghalalkan pergaulan lelaki dan perempuan yang diharuskan berkahwin.

Firman Allah SWT dalam surah al-Nur ayat 32:

Dan kahwinlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) di kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui.


Sabda Rasullullah SAW:

Maksudnya:

Nikah itu adalah sunnahku maka sesiapa yang tidak beramal dengan sunnahku bukanlah ia daripada golonganku.


(Riwayat Ibn Majah)


Hikmah Perkahwinan


Perkahwinan yang dilaksanakan mempunyai hikmah yang banyak, antaranya ialah:


  • Memelihara daripada melakukan perkara yang haram seperti zina dan pergaulan bebas.
Sabda Rasullullah SAW:

Maksudnya:

Wahai orang muda, sesiapa antara kamu yang mempunyai kemampuan (zahir dan batin), maka hendaklah dia berkahwin kerana ia lebih menundukkan pandangan dan lebih memelihara faraj dan siapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa kerana berpuasa itu memecahkan syahwat jimak (mengurangkan keinginan jimak).

(Riwayat al-Bukhari)

  • Menghalalkan pergaulan lelaki dan perempuan menurut ketentuan syarak.
  • Memelihara kesucian keturunan.
  • Membentuk keluarga dan menyusun masyarakat.
  • Melahirkan semangat tolong-menolong antara ahli keluarga.
  • Menghubungkan kasih sayang (silaturahim).
Hukum Nikah

Terdapat lima hukum yang berkaitan dengan pernikahan iaitu:

  1. Harus         ~ Hukum asal perkahwinan.
  2. Sunat         ~ bagi seseorang yang berkemampuan serta mempunyai keinginan untuk berkahwin.
  3. Wajib        ~ bagi seseorang yang mampu dan bimbang atau yakin akan terjerumus melakukan zina     dan perkara yang membawa kepada perzinaan seperti berpegangan tangan dan sebagainya.
  4. Makruh     ~ bagi seseorang yang tidak berkeinginan berkahwin disebabkan penyakit atau tua atau perkahwinan menghalang ia daripada melakukan ibadah kepada Allah.
  5. Haram       ~ sekiranya seseorang itu bimbang atau yakin akan menzalimi serta memudaratkan isterinya.
Rukun Nikah

Rukun nikah ada lima iaitu:

  1. Calon suami ~ pengantin lelaki.
  2. Calon isteri  ~ pengantin perempuan.
  3. Wali.
  4. Dua orang saksi lelaki.
  5. Sighah ( lafaz ijab dan Kabul).
Setiap rukun nikah mempunyai syarat-syarat yang tertentu sebagaimana berikut:

Calon Suami
  • Islam.
  • Tertentu orangnya.
  • Tidak mempunyai empat orang isteri (termasuk jika telah bercerai tetapi masih dalam idah)
  • Tiada halangan untuk berkahwin dengan perempuan yang hendak dinikahi menurut hukum syarak.
  • Tidak dalam ihram haji atau umrah.
  • Sah kelelakiannya.
  • Sukarela tanpa paksaan menurut hukum syarak.
Calon Isteri

Calon isteri hendaklah mempunyai syarat-syarat berikut:

  • Islam atau kitabiyyah (dengan syarat-syarat tertentu).
  • Tertentu orangnya.
  • Sah kewanitaannya.
  • Tiada tegahan syarak untuk berkahwin dengan lelaki yang akan menjadi suaminya.
  • Bukan isteri orang atau dalam idah suami terdahulu.
  • Tidak dalam ihram atau umrah.



Tiada ulasan: