Jumaat, 27 April 2012

Prosedur Perkahwinan Islam


Prosedur Perkahwinan Islam




Setiap orang yang akan berkahwin perlu melengkapkan diri dengan persediaan tertentu yang meliputi ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah, samada yang berkaitan dengan persediaan fizikal, mental, spiritual, ekonomi dan sosial.

Penekanan kepada perkara-perkara di atas perlu dilakukan bagi memastikan matlamat pembinaan keluarga bahagia dapat dicapai. Tanpa penekanan tersebut ia akan menjejaskan pencapaian keharmonian rumahtangga sebagaimana yang dicita-citakan.

Pemilihan Jodoh

Pemilihan pasangan (jodoh) adalah permulaan atau pengenalan kepada perkahwinan. Pemilihan yang berdasarkan panduan yang ditetapkan oleh Islam adalah kaedah pemilihan terbaik sebagai usaha untuk memastikan rumahtangga yang dibina mendapat keredhaan Allah SWT.

Pemilihan Calon Isteri

Pemilihan calon isteri sebaik-baiknya berasaskan kriteria berikut:

  • Agama 
  • Keturunan 
  • Kecantikan
  • Harta
Sabda Rasullullah SAW:

Maksudnya:

Dikahwini akan perempuan itu kerana empat perkara: hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah dari kalangan mereka yang beragama nescaya kamu akan selamat.

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Seseorang yang telah memilih pasangan yang mempunyai keempat-empat kriteria di atas lazimnya akan menikmati kebahagiaan. Sekiranya semua kriteria pilihan itu tidak diperolehi, maka orang yang kuat pegangan agamanya hendaklah diberi keutamaan, kerana memilih pasangan yang berpegang teguh kepada ajaran agama Islam akan lebih menjamin kebahagiaan rumahtangga.


Kriteria lain dalam pemilihan calon isteri, antaranya:

  • Anak dara
  • Berakhlak mulia
  • Keturunan yang ramai anak.
  • Bukan keturunan terdekat
Sabda Rasullullah SAW:

Maksudnya:

...Kamu kahwinilah wanita-wanita yang subur dan pengasih kerana sesungguhnya aku bangga dengan umat yang ramai.

(Riwayat Abu Daud)

Pemilihan Calon Suami

Wanita juga berhak memilih bakal suami. Di antara kriteria yang perlu diberi perhatian oleh wanita semasa memilih bakal suami:

  • Menghayati agama
  • Memiliki akhlak mulia
  • Mampu memimpin keluarga
  • Suami yang kufu (setaraf).
Sabda Rasullullah SAW:

Maksudnya:

Apabila datang meminang kepada kamu orang yang kamu redhai agama dan akhlaknya maka hendaklah kamu kahwini akan dia, jika kamu tidak melakukannya nescaya akan berlaku fitnah di atas muka bumu dan kerosakan yang besar.

(Riwayat al- Tirmizi)


Berdasarkan Hadis dia atas, agama dan akhlak merupakan faktor yang utama dalam membuat pemilihan calon suami. Seandainya perintah tersebut diabaikan, ia boleh membawa kerosakan dan kebinasaan kepada pembinaan keluarga dan keturunan.

Walau bagaimanapun dalam soal samada pemilihan calon oleh pihak lelaki atau perempuan, restu keluarga merupakan faktor yang penting bagi memperoleh kebahagiaan dalam rumahtangga.







Tiada ulasan: