Ahad, 22 April 2012

Pernikahan dalam Islam

Assalamualaikum..w.t.h

Alhamdulillah bertemu kembali kita dalam topik perbincangan kita pada kali ini iaitu mengenai tajuk "Pernikahan" di dalam islam. Topik yang agak menarik ingin saya kongsikan kepada anda semua insyaAllah semoga menjadi panduan kepada semua bakal-bakal pengantin baru dan tidak ketinggalan juga pada yang sudah lama mendirikan rumah tangga bagi menghidupkan semula keredhaan dan keberkatan di dalam rumah tangga. 

Sebelum melayari alam pernikahan seseorang itu perlulah mempelajari ilmu-ilmu rumah tangga terlebih dahulu serta benar-benar faham dengan tanggungjawab yang akan dipikul dalam pernikahan nanti. InsyaAllah jika anda sudah benar-benar faham pasti bahtera yang akan dibina itu akan kekal bahagia hingga ke syurga.

Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan pperempuan) di kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kunianya kerana Allah Maha Luas (rahmatnya dan limpah kurnianya), lagi Maha Mengetahui.
(Surah: Al-Nur: 32).

sabda Rarullullah SAW:

Nikah itu adalah sunnahku maka sesiapa yang tidak beramal dengan sunnahku bukanlah ia daripada golonganku.
(Riwayat Ibn Majah).




Berbagai cerita dan pengalaman yang selalu kita dengar daripada mereka yang telah pun mendirikan rumah tangga, ada yang bahagia dengan pernikahan mereka dan tidak kurang pula yang tidak bahagia dengan pernikahan mereka. Walau bagaimanapun pada yang bakal akan mendirikan atau baru berniat untuk mendirikan rumah tangga usahlah risau atau takut mendengar cerita-cerita yang tidak baik yang berlaku di kalangan mereka yang sudah pun mendirikan rumah tangga. Semuanya bergantung pada akidah seseorang itu, akidah yang mantap menjadi asas kepada keutuhan perhubungan suami isteri dan ahli keluarga. Setiap ahli keluarga yang mempunyai keimanan yang teguh kepada Allah SWT akan sentiasa melaksanakn tanggungjawab masing-masing dengan jujur dan ikhlas seperti yang dikehendaki oleh Islam. Kesan daripada perlaksanaan tanggungkjawab akan menghasilkan sebuah kehidupan yang baik dan diredhai Allah SWT.

Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki dan perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik, dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan. 
(Surah: Al-Nahl : 97)

Berdasarkan penjelasan dan ayat di atas, dapat disimpulkan bahawa akidah merupakan perkara penting dalam kehidupan manusia, khususnya dalam pembinaan keperibadian muslim. Ia menjadi dasar kepada pembinaan keluarga yang sejahtera. Apabila akidah mantap dalam diri setiap individu dan ahli keluarga, maka pastilah mereka akan istiqamah dalam penghayatan hidup, mampu mengendalikan kelakuan dan tindakan, serta dapat membezakan perkara-perkara yang baik dan buruk. Oleh itu sebuah keluarga yang tidak mengamalkan tuntutan akidah dalam kehidupan mereka akan menghadapi kepincangan dalam keluarga seperti hubungan yang renggang, tidak harmoni, kecurangan, pengabaian, penganiayaan dan sebagainya.

Selain itu, ibadah seseorang itu juga merupakan aspek penting dalam kehidupan manusia. Ibadah sangat penting kepada individu dan institusi kekeluargaan kerana pelaksanaan ibadah akan membentuk peribadi mulia serta dapat mengurus keluarga dengan baik dan berkesan. Ibadah yang wajib dilaksanakan oleh setiap muslim contohnya ialah solat fardhu lima kali sehari mengingatkan seseorang itu bahawa dia adalah hamba Allah SWT dan hanya kepadanya tempat pengabdian untuk mengeratkan hubungan dan memperolehi keredhaannya. Ibadah solat juga menjadikan seseorang itu lebih berdisiplin dan istiqamah dalam menjalankan tugas-tugas seharian. Di dalam konsep ibadah solat itu sendiri dapat mendidik seseorang itu menjadi pemimpin di dalam keluarga, suami yang mampu menjadi imam dalam solat adalah amat jelas mampu memimpin rumah tangganya. Maka isteri akan hormat kerana suaminya mempunyai kredibiliti yang sememang menjadi tuntutan dalam berkeluarga. Mampu menjadi imam dalam solat adalah tanda bahawa suaminya mampu memimpinnya ke jalan yang baik dalam agama.

Dan (ingatlah!) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepada ku.
(Surah: Al-Zariyat: 56)

Keharmonian hidup sesebuah keluarga terletak juga kepada nilai akhlak yang dimiliki oleh anda. Akhlak yang baik akan membentuk kefahaman yang jelas tentang tujuan dan masa depan mereka, sedangkan akhlak yang buruk bukan sahaja akan membawa kepada keruntuhan sesebuah keluarga malah melibatkan masyarakat sekitarnya. Peranan akhlak dalam pembinaan sesebuah keluarga yang berjaya perlu melibatkan pelbagai pihak samada ibu bapa, anak-anak malah masyarakat keseluruhannya. Keluarga yang mengamalkan akhlak yang mulia akan menyumbangkan kepada kemajuan. Justeru, Islam melihat persoalan akhlak sebagai titik tolak kepada pembinaan masyarakat yang berjaya dan ia merupakan prasyarat ke arah mewujudkan sebuah negara yang aman dan diredhai oleh Allah SWT. Maka jika anda bakal menjadi seorang suami dan bapa jadilah suami dan bapa yang berakhlak mulia semoga menjadi ikutan serta "role model" kepada keluarga anda nanti dan jika anda bakal menjadi seorang isteri dan ibu jadilah isteri dan ibu yang beraklah mulia juga, tanamkan rasa hormat pada suami serta jadilah ibu yang baik pada anak-anak nanti. InsyaAllah semoga anda mengecapi keluarga yang bahagia serta harmoni yang diredhai Allah.

Demi sesungguhnya! adalah bagi kamu pada diri Rasullullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan memperingati Allah banyak (dalam masa susah dan senang).
(Surah: Al-Ahzab:21)





Tiada ulasan: